Kerjaya kelab Hakan_Çalhanoğlu

Karlsruher

Dilahirkan di Mannheim, Baden-Württemberg, Çalhanoğlu memulakan kariernya di kelab Karlsruher SC yang beraksi di 2. Bundesliga meskipun kelab tersebut disingkirkan ke 3. Liga pada musim pertamanya di situ. Beliau menandatangani kontrak empat tahun bersama kelab Hamburger SV ketika jendela perpindahan musim panas 2012 dan dipinjam semula pada musim pertamanya.[1] Semasa menjadi pemain pinjaman, beliau membantu Karlsruher untuk menjuarai liga dan kembali semula ke divisyen kedua.

Hamburg

Çalhanoğlu melakukan penampilan sulungnya untuk Hamburg dalam perlawanan Bundesliga pada 11 Ogos 2013 ketika seri 3-3 bertemu Schalke 04. Beliau diletakkan dalam kesebelasan utama Hamburg sebelum digantikan oleh Dennis Aogo selepas 74 minit.[2] Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk kelab pada 31 Ogos ketika Hamburg melakar kemenangan 4-0 ke atas Eintracht Braunschweig. Beliau beraksi setelah menggantikan Rafael van der Vaart pada minit ke-79. Beliau menjaringkan gol dan menyumbat gol sekali lagi menerusi sepakan percuma.[3]

Pada 5 Februari 2014, Çalhanoğlu menandantangani kontrak lanjutan dua tahun di Hamburg sekali gus mengekalkan beliau sebagai pemain Hamburg sehingga tahun 2018.[4] Pada 20 Februari, beliau menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari jarak 41 ela ketika menentang Borussia Dortmund yang berkesudahan Hamburg menang 3-0. Beliau telah dibuang padang buat pertama kali dalam kariernya pada 22 Mac apabila dilayang kad kuning kedua ketika tewas 1-0 kepada VfB Stuttgart.[5]

Pada musim pertamanya di Hamburg, pasukannya menghuni tangga ke-16 liga dan memenangi perlawanan play-off menentang Greuther Fürth bagi memastikan Hamburg kekal beraksi di Bundesliga buat musim hadapan.[6]

Bayer Leverkusen

Calhanoglu semasa di Bayer Leverkusen pada tahun 2015.

Hamburg pada mulanya tidak ingin untuk menjual Çalhanoğlu ke kelab Jerman yang lain tetapi pembelian Pierre-Michel Lasogga dari Hertha BSC telah membuatkan pengurusan kewangan tidak menentu.[7] Pada 4 Julai 2014, beliau meninggalkan Hamburg untuk berpindah ke Bayer Leverkusen dengan menandantangani kontrak lima tahun[8] serta bayaran perpindahan sebanyak €14.5 juta.[9]

Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Hamburg pada 19 Jun ketika perlawanan play-off Liga Juara-Juara Eropah menentang Copenhagen.[10] Empat hari kemudian, beliau beraksi pada perlawanan pertamanya bersama Leverkusen di Bundesliga ketika menang 2-0 ke atas Borussia Dortmund.[11] Pada 27 Ogos, beliau menjaringkan gol pertamanya di Leverkusen ketika perlawanan play-off kedua menentang Copenhagen.[12] Beliau menjaringkan gol pertamanya di Bundesliga untuk Leverkusen ialah ketika terikat seri 3-3 menentang Werder Bremen pada 12 September. Çalhanoğlu telah dicalonkan sebagai pencabar anugerah Golden Boy pada Oktober 2014.[13]

Pada 25 Februari 2015, beliau menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Leverkusen menewaskan Atlético Madrid pada pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.[14] Namun tiga hari kemudian, beliau gagal menyempurnakan tendangan penalti dalam perlawanan timbang balik sekali gus memberikan kelebihan untuk Atlético meraih kemenangan.[15] Pada 2 Mei Çalhanoğlu menjaringkan gol pembukaan ketika menewaskan Bayern Munich 2-0 menerusi sepakan percuma.[16]

Beliau memulakan gol pertamanya untuk kempen musim 2015-16 dengan menyudahkan penalti ketika perlawanan DFB-Pokal menentang Sportfreunde Lotte.[17] Dua minggu kemudian, beliau menjaringkan gol tunggal permainan bagi membantu Leverkusen melakar kemenangan ke atas Hannover 96. Pada 26 Ogos, beliau menjaringkan gol pembukaan apabila Leverkusen meraih kemenangan 3-0 ke atas Lazio sekali gus membuka peluang untuk Leverkusen layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA.[18] Dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan, Çalhanoğlu menjaringkan dua gol ketika membelasah BATE Borisov 4-1.[19]

Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk kempen musim 2016–17 pada 14 September ketika perlawanan Liga Juara-Juara menentang CSKA Moscow. Gol tersebut juga menandakan gol ke-50 dijaringkan beliau dalam kariernya.[20]

Pada 2 Februari 2017, Çalhanoğlu digantung empat bulan oleh FIFA kerana tindakannya ketika di Karlsruhe. Beliau menerima €100,000 daripada kelab Turki, Trabzonspor pada tahun 2011 selepas bersetuju untuk berpindah ke kelab tersebut tetapi beliau kemudiannya melanjutkan kontrak bersama kelab Karslruhe. Trabzonspor pada mulanya hanya menginginkan bayaran balik €100,000 bersama pampasan €1 juta tetapi FIFA menyatakan hukuman denda €100,000 dan penggantungan empat bulan telah cukup memadai.[21]

Milan

Pada 3 Julai 2017, Çalhanoğlu mendantangani kontrak empat tahun bersama kelab Serie A, Milan.[22] Bayaran perpindahan tersebut dilaporkan sebanyak €20 juta sebelum ditingkatkan kepada €24 juta.[23] Beliau diberi jersi skuad bernombor 10 yang pernah disarung oleh Gianni Rivera, Ruud Gullit, Dejan Savićević, Zvonimir Boban, Rui Costa dan Clarence Seedorf.[24]

Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Rossoneri pada pusingan kelayakan Liga Europa dengan menggantikan Suso ketika menang 2–0 ke atas Universitatea Craiova di San Siro.[25] Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk Milan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Europa menentang Austria Wien pada 14 September. Pada perlawanan tersebut juga, beliau telah menyumbang kepada dua gol Milan.[26] Di peringkat domestik, Çalhanoğlu melakukan penampilan sulungnya pada 20 Ogos ketika Milan menang 3-0 ke atas Crotone.[27] Beliau telah dibuang padang dalam pertembungan menentang Roma pada 1 Oktober setelah mengasari Radja Nainggolan.[28] Çalhanoğlu menjaringkan gol pertamanya di Serie A pada 25 Oktober ketika Milan menang 4-1 ke atas Chievo sekali gus menjadikannya pemain Turki pertama menjaringkan gol di Serie A sejak Emre Belözoğlu pada tahun 2003.[29]

Rujukan

WikiPedia: Hakan_Çalhanoğlu http://www.90min.com/posts/5388464-milan-issue-lat... http://www.beinsports.com/us/serie-a/video/suso-st... http://www.espnfc.com/bayer-leverkusen/story/30523... http://www.espnfc.com/german-dfb-pokal/story/25543... http://www.espnfc.com/story/1931864/hamburg-midfie... http://www.espnfc.com/story/3152144/ac-milan-sign-... http://touch.fifa.com/newscentre/news/newsid=20191... http://www.fifa.com/worldfootball/statisticsandrec... http://www.fourfourtwo.com/news/calhanoglu-pens-ne... http://www.fourfourtwo.com/news/leverkusen-complet...